Tokoh-tokoh Ulamak Kelantan
Marilah
sama-sama kita mengenangkan kembali sejarah hidup para alim ulamak
dari Kelantan. Seramai dua belas orang tokoh telah dipilih. Kita
mulakan dengan kisah dari seorang demi seorang.

TOK KENALI (1870 - 1933) Tokoh ulama Kelantan paling masyhur, malah
termasuk antara ulama besar Semenanjung Melayu. Sezaman dengan Tuan
Husein Kedah, Pak Wan Sulaiman (Syeikhul Islam Kedah), Haji Abdullah
Fahim (Mufti Pulau Pinang), Haji Abu Bakar Alim (Muar), Haji Mat Shafie
Losong (Terengganu) dll. Guru pondok yang sangat dihormati, bahkan
hingga sekarang pun namanya masih menjadi bualan dan disebut ramai.
Nama sebenar tokoh pendidik yang dilahirkan di Kg. Kenali, Kubang
Kerian, Kota Bharu pada 1287H/1870M ini ialah Haji Mohd. Yusoff Ahmad.
Menuntut di Makkah selama 22 tahun (1305H – 1327H). Sangat alim dalam
ilmu tatabahasa Arab (nahu/soraf), malahan beliaulah yang merintis
kemasukan mata pelajaran ini ke dalam kurikulum pengajian pondok
(sebelum ini, tertumpu pada usuluddin, fiqh dan tasawuf sahaja).
Walaupun Tok Kenali tidak meninggalkan karya tulis yang besar seperti
Tuan Padang, Tuan Tabal dan Tok Wan Ali Kutan, namun beliau berjaya
melahirkan satu angkatan ulama pelapis paling berwibawa – bukan sahaja
di negeri Kelantan, tetapi juga di luar Kelantan. Antara murid-murid
jempolannya termasuklah : Hj. Mat Jebeng (kemanakannya), Hj. Che Mat
Padang Mengkali, Lebai Deraman Pasir Mas, Hj. Seman Sering (Syeikh
Osman Jalaluddin al-Kalantani), Hj. Yaakub Lorong Gajah Mati, Hj. Abdul
Kadir Melor, Hj. Abdullah Tahir Bunut Payong, Hj. Yusoff Padang
Bemban, Hj. Awang Lambor, Dato’ Hj. Ahmad Maher al-Azhari, Hj. Ali
Pulau Pisang, Hj. Abdul Majid Kayu Rendang, Hj. Mat Pauh, Hj. Awang
Serendah, Hj. Daud Bukit Abal, Hj. Awang Beta, Hj. Hamzah Padang Bemban,
Hj. Ismail Perol, Dato’ Hj. Ismail Yusoff, Hj. Abdul Rahman Lubok
Tapah, Hj. Hasbullah Bot dan Hj. Nor Bot. Manakala dari luar Kelantan
pula tersenarai pula nama-nama seperti Hj. Wan Abdul Latif Jerteh, Hj.
Zainal Abidin Dungun, Dato’ Hj. Hasan Yunus al-Azhari (Menteri Besar
Johor), Dato’ Hj. Abdul Rahim Yunus (Mufti Kerajaan Johor), Hj. Abdul
Wahid Osman Sungai Udang, Hj. Ibrahim Bongek Rembau, Syeikh Mohd. Idris
al-Marbawi al-Azhari Kuala Kangsar, Hj. Osman Bukit Besar, Hj. Abdullah
Abbas Nasution Jitra, Hj. Bahauddin Sumatera Jeneri, Hj. Hasan
Lampung, Hj. Yaakub Legor dan Tok Lata (Patani). Di samping itu, dua
orang putera Tok Kenali sendiri – Tuan Guru Hj. Ahmad dan Syeikh Mohd.
Saleh Kenali (menetap di Makkah) – juga tergolong ulama dan pendakwah
yang berjasa besar. Nyatalah rumusan yang menyebut Kelantan sebagai
“Serambi Mekah” itu sangat terkait dengan kehebatan dan kemasyhuran
nama Tok Kenali. Tok Kenali kembali ke rahmatullah di kediamannya pada
pukul 7.30 pagi Ahad 2 Syaaban 1352 bertepatan 19 November 1933 dan
dikebumikan di Kubang Kerian.
HAJI YAAKUB LORONG GAJAH MATI (1895 – 1956)
Salah seorang guru agama paling terkemuka di Kota Bharu pada suku
kedua abad ke-20 Masihi. Murid kanan Tok Kenali yang sebarisan dengan
Haji Saad Kangkong, Haji Ali Pulau Pisang, Haji Abdullah Tahir Bunut
Payong, Haji Mat Jebeng, Haji Ahmad Batu Tiga Repek dll. Nama lengkap
tokoh ulama yang berkediaman di Lorong Gajah Mati, Kota Bharu ini ialah
Haji Yaakub bin Haji Ahmad. Kerjaya awalnya bermula sebagai kerani di
Mahkamah Syariah Kota Bharu dan pernah ditugaskan mengambil peringatan
mesyuarat Jemaah Ulama Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Mulai 1
April 1922, dilantik sebagai guru di Madrasah Muhammadiah (Sekolah
Melayu Majlis) dengan gaji permulaan $20 sebulan. Selepas 15 tahun
(mulai 1 Julai 1938), bertukar menjadi guru kitab di Masjid Muhammadi
(nama rasmi Masjid Besar Kota Bharu) yang berperanan sebagai pusat
pengajian pondok terpenting di Kelantan ketika itu. Gajinya meningkat
ke $28 sebulan. Seterusnya mulai 1 Januari 1940, bertukar ke Jami’
Merbau al-Ismaili (nama awal Maahad Muhammadi) apabila pengajian kitab
di Masjid Muhammadi berpindah ke situ. Gaji bulanannya sejak awal 1940
ialah $34 dan beliau kekal berkhidmat di situ sehingga 1945. Antara
murid-murid harapannya tersenarailah nama-nama seperti Tuan Guru Dato’
Hj. Nik Abdul Aziz (Menteri Besar Kelantan sekarang), Dato’ Hj. Ismail
Yusoff (bekas Mufti Kerajaan Kelantan), Tuan Guru Engku Hj. Syed Hasan
Lemal, Tuan Guru Hj. Awang Nuh Beris Kubor Besar, Ustaz Wan Mohd.
Saghir Kg. Baru, Pasir Pekan, Tuan Guru Hj. Abdul Wahid Sungai Udang
(Melaka) dan Tuan Guru Hj. Ahmad Osman, Hutan Palas, Bukit Keplu,
Kodiang (Kedah). Kewibawaan dan pengalaman luasnya sedemikian
melayakkan beliau dilantik menganggotai Jemaah Ulama MAIK (seawal 1932)
beberapa penggal. Pada mulanya beliau termasuk pengikut Sidi Muhammad
al-Azhari (pengembang tarekat Ahmadiyah di negeri Kelantan), tetapi
kemudian mengubah sikap, iaitu setelah beliau berdamping dengan Maulana
Tok Khurasan, guru perintis ilmu hadith di Kelantan. Tuan Guru Haji
Yaakub meninggal dunia di Kota Bharu pada waktu fajar hari Sabtu 6
Jamadilawal 1376 bersamaan 8 Disember 1956 dengan meninggalkan, antara
lain, tiga orang putera yang dikenali ramai :- • Dato’ Haji Che Husain
(ahli perniagaan) – pewakaf Masjid al-Muttaqin di Lundang dan Masjid
al-Ihsan di Dusun Muda, Kota Bharu; • Hj. Hasan (pengasas Pustaka Aman
Press, Kota Bharu); • Ustaz Yusoff Zaky @ Dato’ Sri Setia Raja
(pengarang terkemuka, pengasas Pustaka Dian, Kota Bharu).
HAJI ABDUL MALEK SUNGAI PINANG (1834 – 1934)
Tokoh guru pondok akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 yang seangkatan
dengan Tok Mesir, Tok Ayah Kerasak, Haji Nik Mat Dagu dan Haji Ismail
Pengkalan Paung. Rakan akrab Haji Abdul Latif Jalaluddin (Bilal Masjid
Kayu Kota Bharu). Nama penuhnya ialah Haji Abdul Malek bin Hasan. Lahir
di Kg. Sungai Pinang, Tumpat sekitar 1834 dari kalangan keluarga yang
sangat miskin. Menuntut ilmu di Patani dan kota suci Makkah selama 14
tahun. Beliau masyhur alim Quran dan kitab Jawi. Selain mengajar
al-Quran dan kitab Jawi beliau banyak terlibat dalam usaha membanteras
amalan khurafat dan syirik, termasuk memuja kubur serta amalan ilmu
sihir. Di peringkat negeri pula, beliau turut tersenarai dalam panel
ulama yang dijadikan pakar rujuk oleh Sultan Mansor Ibn Sultan Ahmad
(dekad 1890-an) dalam menguatkuasakan undang-undang Islam seperti
hukuman hudud kepada pencuri dan pembunuh (diarak keliling pekan),
hukuman ta’zir kepada orang yang tidak berpuasa dan tidak menutup aurat
(dilumur belaking). Kebanyakan murid-murid Tuan Guru Haji Abdul Malek
diberkati Allah dengan ilmu mereka serta berjaya melahirkan barisan
pendidik pelapis pada zaman masing-masing. Antara murid-murid
kenamaannya : Tok Jerulong @ Haji Mohd. Said Muhammad, Haji Samat Hasan
Padang Chenok, Haji Che Mat Taib Pasir Pekan Hilir, Haji Ismail Musa
Temangan, Haji Wan Abdullah Kg. Chap/Sungai Pinang, Wak Haji Khatib
Ahmad Bemban/Binjai, Tok Kedah @ Haji Idris Penggawa Kangkong, Haji
Mahmud Ali (Imam Kangkong), Haji Daud Saamah (bapa kepada Tuan Guru Haji
Saad Kangkong), Haji Mohd. Akib Ismail Kg. Kelar, Tuan Guru Haji Ali
Pulau Pisang, Tuan Guru Haji Abdullah Senik (pengasas Pondok Padang di
Pasir Mas), Tuan Guru Haji Wan Ahmad Abdul Halim (pengasas Pondok Padang
Jelapang), Tuan Guru Haji Abdul Rahman Osman (pengasas Pondok
Selehong), Tuan Guru Haji Yusoff Abdul Rahman (pengasas Pondok Pulau
Ubi), Haji Ibrahim Tok Raja (Mufti Kerajaan Kelantan) dan Haji Seman
Sering (kemudian lebih terkenal dengan nama Syeikh Osman Jalaluddin
al-Kalantani). Datuk kepada Dato’ Dr. Nik Safiah Karim (Profesor Adjung
di Universiti Malaya) ini kembali ke rahmatullah di Sungai Pinang pada
malam Rabu 11/12 Ramadhan 1353 bersamaan 18 Disember 1934.
HAJI ISMAIL PONTIANAK (1882 – 1950)
Tokoh ulama’ perantau. ‘Khatib Masjib Muhammadi dekad 1940-an yang
paling popular. Lahir sezaman dengan Mufti Haji Idris , Dato’ Perdana
Haji Nik Mahmud, Tok Seridik dan Syeikh Osman Jalaluddin al-Kalantani.
Nama penuhnya ialah Haji Ismail bin Abdul Majid, tetapi lebih dikenali
dengan panggilan Haji Ismail Pontianak kerana lamanya beliau berkelana
dan bermastautin di Pontianak (Kalimantan Barat), bahkan pernah
dilantik menjadi Mufti Kerajaan Pontianak – berkhidmat selama suku abad
(1910 – 1935). Meskipun demikian, Haji Ismail akhirnya kembali menetap
di Kelantan. Kerjaya awal tokoh lepasan Makkah ini dalam perkhidmatan
Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) bermula pada 1 Januari 1940 apabila
beliau dilantik menjadi guru kitab di Jami’ Merbau al-Ismaili dengan
gaji permulaan $47.50 sebulan. Selanjutnya, beliau dipilih menganggotai
Jemaah Ulama’ MAIK (10 April 1940 hingga 8 Februari 1947). Selain
daripada itu, dilantik sebagai Penterjemah Arab (semenjak 1 Julai 1941).
Zaman gemilang perkhidmatannya bermula pada 1 Mei 1943 apabila beliau
dilantik menjadi Khatib di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Berbeza dengan
tok-tok khatib sebelumnya yang masih terikat dengan nota atau teks
Arab sepenuhnya, Haji Ismail memperkenalkan khutbah tanpa teks di
tangan. Kepetahan beliau menyampaikan khutbahnya secara spontan, dalam
bahasa ibunda pula, terbukti sangat berkesan. Walaupun khutbahnya agak
panjang, tetapi ahli jemaah tidak bosan. Ini kerana beliau bijak
menyusun kata, pandai menyelit ungkapan bahasa “segar”, bersesuaian
dengan suasana yang mampu membuat sidang hadirin tidak jemu atau
mengantuk. Beliau bukan sahaja popular di kalangan ahli jemaah dan
anak-anak muridnya, malah sangat disenangi oleh Sultan Ibrahim
sehinggalah dilantik menjadi guru agama merangkap Imam di Istana
baginda. Khatib panutan ini meninggal di rumahnya, Jalan Pengkalan
Chepa, Kota Bharu pada tengah malam Isnin 18 Muharram 1370 bersamaan 19
Oktober 1950 dan dikebumikan di Kg. Labok, Machang – kampung asalnya.
Satu-satunya pusaka penulisan beliau yang diketahui sempat dicetak edar
ialah Kitab Pedoman Kemuliaan Manusia (cetakan pertama 1938), setebal
320 muka iaitu sebuah karya “bunga rampai”. - Ismail Che Daud
HAJI ALI PULAU PISANG (1899 – 1968)
Salah seorang guru pondok pertengahan abad ke-20 yang paling ternama
di Kelantan. Murid harapan Tok Kenali terkanan yang mewarisi ilmu
tatabahasa Arabnya. Seangkatan dengan Haji Abdullah Tahir Bunut Payong,
Haji Yaakub Lorong Gajah Mati, Haji Saad Kangkong, Haji Awang Lambor
dan Haji Awang Serendah. Rakan akrab Ayah Chik @ Lebai Omar Kubang
Tuman. Nama penuh tokoh ulama’ kelahiran mukim Pulai Pisang, daerah
Badang, Kota Bharu ini ialah Haji Mohd. Ali Solahuddin bin Awang.
Ibunya bernama Wan Kalsom. Beliau adalah anak ketiga daripada 9
beradik. Selain Tok Kenali, guru-guru tempatan lainnya termasuk juga
Haji Abdul Malek Sungai Pinang, Haji Yusoff Sungai Pinang (kemudian
lebih dikenali dengan nama Tok Pulai Ubi), Tok Kemuning (di Pulau
Kundor), Haji Omar Sungai Keladi, Pak Chik Musa, Haji Yaakub Legor dan
Haji Ahmad Hafiz. Namanya “timbul” kerana kealimannya dengan ilmu soraf
(cabang tatabahasa Arab) sehingga digelar “Tok Sibaweh”. Tidak
hairanlah jika Madrasah al-Falah (nama rasmi Pondok Pulau Pisang) yang
dibangunkan beliau di Telok Chekering, Pulau Pisang senang menjadi
tarikan para pelajar pondok. Sementelahan pula seawal 1932 lagi, Haji
Ali dipilih menganggotai Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan
(MAIK) yang dipengerusikan oleh Dato’ Haji Ahmad Maher al-Azhari (Mufti
Kerajaan Kelantan). Berikutan dengan kematian Haji Saad Kangkong
(1943), beliau dipinjam sebagai guru agama Kelas Khas di Jami’ Merbau
al-Ismaili (pusat pengajian ilmu-ilmu Islam berbentuk sekolah pertama
di Kelantan) yang menampung ramai pelajar elit dari dalam dan luar
Kelantan pada awal dekad 1940-an; berkhidmat sehingga 1 Mac 1946.
Selepas itu kembali semula ke kampus Masjid Muhammadi. Antara
murid-murid jempolannya Dato’ Haji Ismail Yusoff (Mufti Kerajaan
Kelantan), Ustaz Dato’ Yusoff Zaki Yaakub (pengarang terkemuka dan
penterjemah Tafsir fi Zilal al-Quran, Ustaz Ismail Yusoff (Imam Waktu
Masjid Muhammadi), Ustaz Wan Mohd. Saghir Wan Konok Pasir Pekan, Ustaz
Azhari Abdul Rahman Melor, Hj. Abdul Aziz dan Hj. Mustafa Pasir Tumboh,
Hj. Zakaria Selising, Hj. Daud Geting, Hj. Daud Perakap, Hj. Nik Daud
Tanah Merah, Hj. Wan Abdul Latif Jerteh, Hj. Abdul Wahid Sungai Udang
(Melaka), Hj. Abdul Rashid Bagan Datok Perak dan Hj. Abdullah Abbas
Nasution Tanjung Pauh (Kedah). Ulama’ kesayangan Dato’ Mufti Haji Ahmad
Maher ini kembali ke rahmatullah di kediamannya di Kg. Limau Putenge,
Pulau Pisang pada pukul 7.05 pagi Khamis 11 Rejab 1388 bersamaan 3
Oktober 1968 dengan meninggalkan dua buah karya bercetak yang mengupas
tentang ilmu soraf dan terjemahan Surah Yasin. -Ismail Che Daud
TOK SELEHONG (1872 – 1935)
Tokoh Guru Pondok paling terkemuka di Jajahan Tumpat selepas zaman
Haji Abdul Malek Sungai Pinang. Seangkatan dengan Tok Kenali, Tok
Padang Jelapang, Tok Bachok, Tok Seridik dan Tok Kemuning. Nama
sebenarnya ialah Haji Abdul Rahman bin Haji Osman. Kadang-kadang
dipanggil juga dengan nama Haji Abdul Rahman Syair atau Tok Syair
kerana kepandaiannya mengarang syair. Seorang daripada guru awalnya
tentulah Haji Abdul Malek Sungai Pinang yang berdekatan dengan
kampungnya. Kemudian menyambung belajar di Pondok Cha-ok, Patani
berguru dengan Tok Cha-ok @ Haji Abdullah bin Mohd. Akib. Akhir sekali
pergi mendalami pengajian di kota Makkah – berguru dengan Pak Chik Wan
Daud Patani, Tuan Mukhtar Bogor, Tok Shafie Kedah dan ramai lagi.
Selepas 18 tahun bermukim di tanah suci Makkah, pulang ke tanah air
(1921) lalu mengasas pusat pengajian pondok sendiri di pinggir Sungai
Selehong. Di pondok inilah beliau mengajar dan mengembangkan pondoknya
yang sangat dikenali ramai pada zaman itu. Bidang ilmu yang sangat
ditumpukannya ialah ihsanuddin atau tasawuf dengan Syarh Hikam Ibn
Ata’Allah sebagai teks utama. Tok Guru Selehong masyhur sebagai ahli
sufi yang zahid. Bagi tujuan supaya hatinya tidak tertambat kepada
dunia, beliau menggali sebuah lubang khas dalam kawasan tanah
perkuburan Islam berhampiran Pondok Selehong yang dijadikannya semacam
kamar khusus tempat beliau beribadat dan bersuluk. Hobi tok guru yang
pandai bersilat ini pun agak aneh. Beliau bukan sahaja sering keluar
memikat ikan dan berburu rusa, malahan meminati haiwan yang
cantik-cantik seperti kuda, biri-biri jantan, ayam jantan laklung persis
orang pilihara ayam serama zaman kini. Bapa mertua kepada Tuan-tuan
Guru Haji Ahmad Bat Tiga Repek dan Haji Awang Beta ini kembali ke
rahmatullah pada jam 8.30 malam Khamis 18 Zulkaedah 1353 bersamaan 20
Februari 1935 dan dikebumikan di Kubor Selehong, Tumpat. Kegiatan dakwah
Islamiahnya diteruskan oleh murid-muridnya hingga ke hari ini. Antara
yang masyhur termasuklah Pak Chu Che Abbas Kelong, Haji Yaakub Kelong,
Haji Pak Man Berangan, Haji Che Mamat Kok Keli., Haji Awang Lambor,
Haji Yaakub Wakaf Bharu, Haji Abdul Rahman Dalam Pator, Haji Abdul
Rahman Tendong, Hj. Abdul Rahman Pohon Tanjung, Hj. Abdullah Tal Tujoh,
Hj. Che Mat Padang Upeh, Hj. Abdul Aziz Kg. Tujoh, Hj. Mat Bola
Geting, Hj. Saleh Pedada Bunohan, Pak Su Wil Kg. Dangar, Hj. Abdul
Kadir Gaal, YB Hj. Muhammad Batu Hitam dan Hj. Wan Abdul Latif Jerteh
(Terengganu).-ISMAIL CHE DAUD
HAJI ABDULLAH TAHIR BUNUT PAYONG (1897 – 1961)
Salah seorang ulama besar negeri Kelantan yang masyhur alim dalam ilmu
fiqh. Pendiri Pondok Bunut Payong yang terkenal ke seluruh Semenanjung
itu. Seangkatan dengan Haji Ali Pulau Pisang, Haji Yaakub Lorong Gajah
Mati, Haji Saad Kangkong, Haji Ahmad Batu Tiga Repek, Haji Saleh
Pedada dll. Dilahirkan di Kg. Sireh, Kota Bharu pada 20 Muharram 1315
bersamaan 20 Jun 1897, Bapanya, Haji Ahmad bin Mohd. Zain yang berasal
dari Kg. Chepa, Kedai Lalat pernah berkhidmat sebagai Imam Tua di
Masjid Langgar, Kota Bharu (berkhidmat sehingga 1920). Sesudah berguru
selama 15 tahun dengan Tok Kenali, beliau belayar ke tanah suci Makkah
mendalami pengajiannya. Antara lain mengikuti kuliah Tuan Mukhtar
Bogor, Syeikh Said al-Yamani, Syeikh Mohd. Ali al-Maliki dan beberapa
tokoh yang lain lagi. Sekembali ke Kelantan, beliau diminta menyertai
kumpulan tenaga pengajar Halaqat Kitab di Masjid Muhammadi, Kota Bharu.
Bagaimanapun, khidmatnya tidak lama kerana pada 1931, beliau memulakan
kegiatan keguruannya sendiri di Bunut Payong yang diberi nama Madrasah
Ahmadiah. Madrasah ini kemudian terkenal ke seluruh pelosok
Semenanjung Melayu sebagai pusat pengajian pondok yang berprestasi
tinggi di Kelantan. Di Pondok Bunut Payong inilah Tuan Guru Haji
Abdullah Tahir mengajar kitab hingga ke akhir hayatnya. Beliau terkenal
sebagai seorang tok guru yang tekun mengajar serta mengamalkan
disiplin diri yang keras lagi tegas. Kerana kegigihannya yang
sedemikian maka tidak peliklah jika Pondok Bunut Payong berjaya
melahirkan ramai murid berilmu tinggi seperti Hj. Husain Rahimi, Hj.
Nik Man Sungai Budor, Hj. Abdul Aziz Pasir Tumboh, Hj. Ismail Padang
Lepai, Hj. Abdullah Kok Lanas, Hj. Omar Kubang Bemban, Hj. Abdul Rahman
Slow Machang, Hj. Wook Lubok Chekok, Hj. Noor Teliar, Hj. Saulaiman
Siram, Hj. Daud Bukit Bunga, Hj. Yaakub Kelong, Hj. Ghazali Pulai
Chondong, Hj. Zakaria Selising, Hj. Osman Perlis, Hj. Ahmad Kodiang,
Hj. Yahya Joned Gurun, Hj. Ibrahim Bongek, Hj. Abdul Wahid Sungai
Udang, Hj. Husain Umbai, Hj. Ahmad Relai, Hj. Hasanuddin Berhala
Gantang, Hj. Ismail Phuket, Hj. Ghazali Mundok. Kerana ketokohannya
juga beliau dilantik menganggotai Jemaah Ulama Majlis Agama Islam
Kelantan beberapa penggal (seawal 1932). Kematian Fuqaha’ ini pada
pukul 7.20 pagi Selasa 4 Rabiulawal 1381 bersamaan 15 Ogos 1961
menyebabkan negeri Kelantan kehilangan seorang tokoh ilmuan yang
menerangi budaya ilmu dan dakwah Islamiahnya. -ISMAIL CHE DAUD
HAJI DAUD BUKIT ABAL (1906 – 1976) Syeikh
tarekat Ahmadiyah terpenting di rantau ini selepas generasi Mufti Haji
Wan Musa/Sidi Muhammad al-Azhari/Syeikh Mohd. Said Linggi. Adik
kandung Tuan Guru Haji Mat Limbat/Gong Kemudu. Nama penuh ahli sufi ini
ialah haji Daud Shamsuddin bin Haji Omar al-Libadi. Lahir di Kg.
Kerasak, Limbat, Kota Bharu sekitar 1903. Ibunya, Wan Halimah bt. Hj.
Ismail ialah adik kepada Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Haji Ismail
(lebih terkenal dengan panggilan Haji Awang Limbat). Manakala bapanya,
Haji Omar bin Haji Taib berasal dari Kg. Mentera, Bukit Marak. Antara
guru-guru awalnya : Haji Ahmad Limbat, Haji Sulaiman Kubang Kachang, Tok
Kenali, Tok Seridik, Haji Omar Sungai Keladi, Haji Nik Abdullah
Khatib, Yaakub Legor dan Maulana Tok Khurasan. Di kota Makkah pula,
antara lain beliau mendalami pengajiannya dengan Syeikh Omar Hamdan,
Syeikh Mohd. Ali al-Maliki, Syeikh Hasan al-Masyat, Syeikh Hasan
al-Yamani, Syeikh Muhammad al-Azhari dan Syeikh Mohd. Shafie Kedah (Tok
Shafie). Kedua-dua penama akhir inilah yang banyak mencurahkan amalan
tarekat Ahmadiyah (termasuk ilmu ihsanuddin) kepadanya. Setelah kembali
dari Makkah pada awal 1941, beliau berkebun sambil mengajar agama
dibeberapa tempat. Akhir sekali pulang menetap di Bukit Abal, Pasir
Puteh lalu berusaha menghidupkan semula sekolah pondok peninggalan bapa
mertuanya, Haji Awang Limbat. Peringkat awalnya kurang mendapat
sambutan – mungkin kerana namanya belum terserlah. Hanya selepas 1968
barulah majlis ilmunya mula mendapat perhatian ramai. Kupasan ilmu
usuluddin, furu’uddin (fiqh 4 mazhab) dan ihsanuddin yang menjurus
kepada pengalaman zikir tarekat kemudiannya terbukti sangat popular.
Untuk kemudahan murid-muridnya beliau mengulang cetak karyanya sendiri,
iaitu Risalat al-Aqaid wa al-Fawaid (cetakan pertama 1956); dan pada
awal 1970-an diedarkan pula stensilan Risalat al-Tasawuf yang sempat
disusun setakat 8 siri sahaja kerana masalah kesihatannya. Tuan Guru
Haji Daud meninggal dunia di Bukit Abal ketika pondoknya sedang
berkembang maju, iaitu pada pukul 2 petang Ahad 1 Safar 1396 bersamaan 1
Februari 1976. Warisan ilmunya kini disebarkan pula oleh tokoh-tokoh
seperti Tuan Guru Haji Ghazali Tunjong, Pak Da Awang Kampung Pek, Ustaz
Mustafa Muhammad al-Ahmadi (pengarang buku Mengenal Diri dan Wali
Allah yang sangat popular itu). Ustaz Wan Hasan Muhammad Bukit Tanah
(ahli Jemaah Ulama MAIK), Drs. Abdul Rahman Haji Ahmad (Timbalan Ketua
Pengelola Dakwah Halaqat Negeri Kelantan) dan Prof Dr. Hamdan Hassan
(Universiti Brunei Darussalam). - ISMAIL CHE DAUD
HAJI AWANG LAMBOR (1900 – 1963) Salah
seorang guru pondok yang paling berpengaruh di Jajahan Tumpat pada
pertengahan abad ke-20 Masihi. Seangkatan dengan Haji Mohd. Saleh
Pedada, Haji Yaakub Kelong, Haji Daud Geting dan Haji Pak Man Berangan.
Nama sebenar tokoh ulama’ yang dilahirkan di Kg. Padang Merbau, Lambor,
Wakaf Bharu sekitar 1900 ini ialah Haji Abdullah bin Haji Omar.
Bapanya Haji Omar bin Haji Abdul Rahman – lepasan pondok di Patani –
ialah seorang Khatib di surau mukim Jal Kecik, juga adik kepada Haji
Yusoff bin Haji Abdul Rahman, Imam Tua mukim Meranti di Jajahan Pasir
Mas. Datuknya, Haji Abdul Rahman yang berasal dari Kota Bharu Reman
adalah Imam perintis di surau mukim Jal Kecik. Beliau sendiri bersepupu
dengan Hajjah Zainab bt. Hj. Yusoff yang kemudiannya menjadi isteri
kepada Tuan Guru Haji Mohd. Zain Meranti, guru awalnya. Seorang
sepupunya lagi ialah Haji Ahmad bin Haji Yusoff, Imam mukim Meranti
yang meninggal dunia pada 21 Ogos 1961. Juga bertalian dua pupu dengan
Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Ali, Kg. Jalah, Bunut Susu (meninggal 2
Ogos 1931). Manakala Pak Chu Haji Mat Saman bin Haji Abu, guru
al-Quran ternama di kawasan Lambor/Kubang Batang sebelum Bah Air Merah
(1926) itu pula ialah abang iparnya. Kerana latar belakang keluarga
yang sedemikian maka tidak hairanlah jika beliau sudah mula terdedah
kepada pengajian asas agama sejak kecil lagi. Selepas menuntut beberapa
ketika dengan Tok Kenali dan Tok Selehong beliau pergi menamat di kota
Makkah selama 9 tahun lagi. Barisan gurunya termasuk Syeikh Omar
Hamdan, Tuan Mukhtar Bogor, Tok Senggora, Tok Shafie Kedah, Pak Cik Wan
Daud Patani, Haji Sulong Patani, Pak Da Ail Patani dan Syeikh Muhammad
bin Syeikh Nik Dir Patani. Pada 1934, pulang ke Kelantan iaitu
mendirikan Pondok Lambor yang telah melahirkan tokoh-tokoh seperti Haji
Mat Nor Rushdi Haji Awang Gagah (pengasas Pondok Tasat di Legor,
Thailand). Haji Wan Mat Wan Saleh (pendiri Pondok Paya Ular di Bunut
Susu), Haji Mohd. Nor Haji Abdullah (guru Pondok Teliar), Pak Su Che
Wil Haji Abdul Rahman (Imam Tua mukim Delima), Pak Su Loman (Imam Bunut
Susu), Haji Yaakub Awang, Kg. Jelutong, Gunong, Bachok dan Haji Che
Wil Abdul Latif, Kg. Meranti Besar. Tuan Guru Haji Awang Lambor
berpulang ke rahmatullah pada pukul 3 petang Sabtu 27 Zulkaedah 1382
bertepatan 20 April 1963 dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam
Pondok Lambor, Wakaf Bharu. - Ismail Che Daud
MUFTI HAJI WAN MUSA (1875 – 1939)
Ahli tasawuf berpendirian tegas. Bergiat sezaman dengan Tok Selehong,
Haji Che Leh Kg. Laut, Tengku Mahmud Zuhdi (Syeikhul Islam Selangor).
Putera kedua Tuan Tabal dan adik kandung Mufti Haji Wan Muhammad, juga
abang kepada Haji Nik Abdullah Khatib. Nama penuhnya ialah Haji Wan
Musa bin Haji Abdul Samad. Bapanya, Haji Abdul Samad bin Mohd. Saleh
al-Kalantani (lebih masyhur dengan gelaran Tuan Tabal) ialah penyebar
perintis tarekat Ahmadiyah di rantau ini, juga tergolong ulama
pengarang yang banyak menulis kitab Jawi – terpentingnya Minhat
al-Qarib (1883). Haji Wan Musa adalah seorang rakan seperguruan Tok
Kenali, terkenal dengan fikiran-fikiran yang berani tetapi kontroversi.
Namun, beliau terpilih dan ditawarkan jawatan Mufti Kerajaan Kelantan
selepas pengunduran Mufti Haji Wan Ishak pada awal 1909. Sikapnya yang
tegas serta pandangan-pandangannya yang cenderong kepada reformasi
telah menyeret beliau ke kanchah pertelagahan pendapat dengan
tokoh-tokoh “Kaum Tua” seperti Haji Omar Sungai Keladi, Haji Ibrahim
Tok Raja, Haji Ismail Kemuning dan Haji Ahmad Abdul Mannan. Di luar
Kelantan pula, beliau pernah berpolemik dengan Tengku Mahmud Zuhdi
al-Fatani – penulis Tazkiyat al-Anzar (1920) yang menghujah balas
pendapat Haji Wan Musa. Antara persoalan kontroversi yang berbangkit
sehubungan dengan pendapat beliau ialah isu membina masjid dengan harta
zakat fitrah, hal muqaranah sembahyang, talqin, kain telekung
sembahyang, talfiq mazhab, pemindahan harta wakaf/pusaka dan perbahasan
jilatan anjing. Keyakinannya kepada pendapat-pendapat yang pernah
diluahkannya serta pertelingkahannya yang lama dengan tokoh-tokoh “Kaum
Tua” menyebabkan beliau melepaskan jawatan Mufti pada pertengahan
1916. Sebagai tokoh berwibawa, halaqat pengajian kitab di suraunya di
Jalan Merbau, Kota Bharu berjaya melahirkan ramai pendakwah pelapis
yang mampu mengajar baik di sekolah pondok mahupun di sekolah moden.
Mereka termasuk Hj. Saad Kangkong, Pak Su Wan Adam Kg. Laut, Hj. Mohd.
Zain Meranti, Hj. Nik Mat Alim Pulau Melaka, Hj. Abdul Mannan Sumatera,
Hj. Abdul Wahid Melaka, Hj. Ahmad Perak dan Hj. Ayyub Kemboja.
Putera-putera beliau sendiri pun tergolong alim ulama’ yang disegani.
Antara tokoh-tokoh yang dimaksudkan ialah Hj. Nik Abdullah, Hj. Nik Mat
Nazir, Hj. Nik Mud, Hj. Nik Leh dan Hj. Nik Mat Din. Pusaka lainnya
ialah dua risalah terjemahan yang selesai disusun seawal 1906 lagi.
Mufti Haji Wan Musa kembali ke alam baka pada 3.00 petang Sabtu 24
Zulkaedah 1357 bertepatan 14 Januari 1939 dan dikebumikan di tanah
perkuburan Kg. Banggol, Jalan PCB, Kota Bharu. - Ismail Che Daud
HAJI SAAD KANGKONG (1893 – 1943)
Imam waktu perintis di Masjid Besar Kota Bharu. Guru kitab Arab paling
muda di Halaqat Kitab Masjid Muhammadi. Rakan setugas Haji Yaakub
Legor dan Haji Yaakub Lorong Gajah Mati. Nama penuhnya ialah Haji As’ad
bin Haji Daud, berasal dari Kg. Kangkong, Pasir Mas. Beliau tidak
jemu-jemu belajar dan mengajar, semenjak muda sampai tua. Guru-guru
utamanya termasuk Tok Kenali, Haji Ahmad Hafiz, Mufti Haji Wan Musa dan
anaknya, Haji Nik Abdullah. Juga disebut-sebut pernah menuntut di
Makkah selama tujuh tahun. Apabila pentadbiran Majlis Agama Islam
Kelantan (MAIK) memperkenalkan jawatan Imam Sembahyang Waktu di Masjid
Besar Kota Bharu (sekarang Masjid Muhammadi), beliau terpilih sebagai
penyandang pertamanya – berkhidmat mulai 19 Jun 1927 hingga 31 Disember
1930, bergaji $15 sebulan. Sepanjang dasawarsa 1930-an beliau bertugas
sepenuh masa sebagai guru kitab Arab di Masjid Muhammadi (nama rasmi
Masjid Besar Kota Bharu), bergaji $30 sebulan dan meningkat ke $40
apabila bertukar ke Jami’ Merbau al-Ismaili (sejak awal 1941). Haji
Saad menggalakkan murid-muridnya supaya membaca akhbar dan majalah bagi
menambah ilmu pengetahuan. Antara murid-murid kenamaannya termasuk
Dato’ Haji Ismail (Mufti Kerajaan Kelantan), Haji Abdul Rahman Lubok
Tapah, Haji Nik Man Sungai Budor, Haji Awang Beta, Haji Yusoff Tasek
Berangan, Haji Nik Daud Tanah Merah, Haji Osman Padang Siam, Haji
Ibrahim Apa-Apa, Haji Ismail Kg. Talak, Haji Che Mat Padang Upeh, Haji
Yaakub Wakaf Bharu, Haji Abdullah Kg. Laut, Hj. Abdullah Aur China,
Haji Abdullah Gemuk, Hutan Pasir, Hj. Mohd. Amin Tok Bachok (Qadhi),
Haji Mustapha Idris (pesara Timbalan Qadhi Besar Kelantan), Ustaz Haji
Wan Ahmad Kg. Menuang, Haji Yaakub Kg. Sireh (Pegawai Agama MAIK), Haji
Abdul Shukor Kubang Gendang (kemudian menjadi menantunya), Haji Abdul
Wahid Sungai Udang (Melaka), Haji Husain Hafiz Umbai (Melaka), Ahmad
Zaini Haji Tahir Asahan (Sumatera) dan Haji Shuaib Ahmad Pulau
Kerengga, Marang (Terengganu). Sebagaimana rakan-rakan seperjuangannya
beliau turut dilantik menjadi Ahli (Mesyuarat) Majlis Agama Islam
Kelantan (1940). Tuan Guru Haji Saad Kangkong ditakdirkan meninggalkan
dunia secara mengejut di rumahnya sekitar jam 11.00 pagi 22
Jamadilakhir 1362 bersamaan 26 Jun 1943. Bakat beliau dalam kegiatan
dakwah kini diwarisi cucunya, Dr. Abdul Hayei Abdul Shukor (pensyarah
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya). - Ismail Che Daud
SHEIKH OSMAN JALALUDDIN AL-KALANTANI (1880 – 1952)
Salah seorang guru pondok dan ulama’ pengarang tersohor di Semenanjung
Melayu pada suku kedua abad ke-20 Masihi. Seangkatan dengan Tok
Seridik, Haji Ismail Pontianak, Haji Omar Banggol Kulim, Dato’ Perdana,
Haji Mat Jebeng. Beliau bukan sahaja terkenal di Kelantan dan Pulau
Pinang, tetapi juga terbilang di Makkah. Nama penuh tokoh ulama
kelahiran Kg. Panjang, daerah Sering di sempadan jajahan Kota
Bharu/Bachok pada penghujung 1297H/1880M ini ialah Haji Osman bin
Muhammad. Lantaran itu pada peringkat awalnya beliau lebih dikenali
dengan panggilan Haji Seman Sering. Beliau termasuk dalam kumpulan
murid kesayangan Tok Kenali. Juga pernah berguru dengan Haji Jamaluddin
Perupok dan Haji Abdul Malek Sungai Pinang. Di Makkah pula, beliau
sering mendampingi Tuan Mukhtar Bogor (Syeikh Mohd. Mukhtar bin Atarid)
yang ternama itu. Namanya mula “timbul” selepas kejayaan beliau
mendirikan Madrasah Manabi’ al-Ulum (1932) di Penanti, Bukit Mertajam.
Madrasah ini kemudiannya muncul sebagai pusat pengajian pondok yang
paling maju di Seberang Perai, khususnya pada dasawarsa 1930-an dan
1940-an. Sebagai pendidik yang dedikasi beliau banyak menghasilkan
karya sendiri dan terjemahan. Syeikh Osman bukan sahaja berhati-hati
dalam menghasilkan sesuatu karangan, tetapi juga selalu memilih topik
yang berkait rapat dengan persoalan yang dihadapi oleh masyarakat.
Kitab al-Durrat al-Nafi’ah (Alamat Kiamat) karangannya meletakkan
beliau sebagai sasterawan Islam yang berpandangan jauh kerana ia
dianggap buku berbahasa Melayu paling terperinci membicarakan perihal
tanda-tanda dunia hampir kiamat. Di samping itu Syeikh Osman kerap
berulang-alik ke Makkah dan diberi kepercayaan mengajar di Masjid
al-Haram. Sebab itu muridnya ramai. Mereka termasuk Hj. Abdul Rahman
Sungai Durian, Hj. Abdul Rahman Lubok Tapah, Hj. Abdullah Lati, Hj.
Abdullah Kg. Laut, Hj. Hassan Ketereh, Hj. Abu Bakar Tiu, Hj. Mohd.
Ibrahim Akibi Pulau Pinang, Hj. Ismail Merbok, Hj. Husein Umbai, Hj.
Abdul Ghani Kubang Bemban dan antara yang masih ada lagi ialah Ustaz
Abdul Kadir Kamaluddin (lahir 1921), Ketapang Tengah, Pekan, Pahang.
Tokoh yang amat mementingkan istiqamah dan disiplin diri ini
ditakdirkan meninggal di tanah suci Makkah waktu fajar hari Jumaat 30
Zulhijjah 1371 bersamaan 19 September 1952. - Ismail Che Daud Badan
Kebajikan Sekolah SEK. MEN. KEB. ISMAIL PETRA Kompleks Sekolah-Sekolah,
15300 Kota Bharu, Kelantan. Tel : 09-7481848 Fax : 09-7479936 Email :
smkip@hotmail.com