20 Jun 2012

Lagi Kes Maut Ditembak Di Kelantan

KOTA BHARU - Seorang lelaki berusia 58 tahun, ditemui mati tertiarap serta berlumuran darah di kawasan stor sebuah syarikat perumahan di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa, di sini, malam kelmarin.

Kejadian pada jam 9.15 malam itu, menyebabkan mangsa maut, selepas dipercayai ditembak dengan tiga das tembakan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisstan Komisioner Azham Othman berkata, semasa polis menjalankan siasatan di tempat kejadian, mangsa hanya memakai kain sarung serta mengenakan baju t- lusuh tanpa kolar berwarna hitam dan memakai selipar.

“Mangsa yang dikenali sebagai Mamat Omar merupakan seorang tukang kayu yang bekerja di kawasan terbabit sejak dua bulan lalu.

“Dia yang berasal dari Thailand dan menetap di Kampung Simpangan,Tumpat, sudah berkahwin dan mempunyai lima anak serta tidak tinggal tetap di rumah kongsi kerana mempunyai keluarga,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Azham berkata, hasil siasatan unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) serta Unit K9 bersama doktor Patologi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), pergerakan suspek hanya dapat dikesan ketika menuju ke kawasan itu.

“Semasa siasatan dilakukan, terdapat tiga kesan tembakan pada mangsa iaitu di pipi sebelah kanan, leher dan belakang kepala. Tiada kelonsong peluru ditemui di kawasan kejadian dan dipercayai penjenayah menggunakan senjata jenis Revolver,” katanya.

Beliau berkata, stor dan rumah kongsi itu juga ditinggalkan kosong pada waktu malam dan tiada pekerja pada ketika itu.

“Mangsa yang berasal kampung Chenerong, Thailand mula menetap di negara kita sejak 22 tahun lalu. Kali terakhir mangsa dilihat di kawasan itu, pada jam 7 malam yang ketika berada di biliknya di rumah kongsi di kawasan itu”, katanya.

Azham berkata, setakat ini pihaknya masih mengenal pasti motif kejadian dan penjenayah yang terlibat, dan kes itu disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Sementara itu, menurut saksi kejadian, Mohd Afiq Azlam, 19, dia terdengar bunyi letupan sebanyak tiga kali selepas menunaikan solat Isyak.

“Pada mulanya saya ingatkan bunyi mercun tetapi selepas keluar dari rumah saya terkejut melihat mayat seorang lelaki tertiarap di atas jalan.

“Ini merupakan kejadian pertama selepas sebulan saya menetap di kawasan ini,” katanya.

15 Jun 2012

BN punyai kekuatan rampas kembali Kelantan

KOTA BHARU 14 Jun - Barisan Nasional (BN) mempunyai kekuatan untuk merampas Kelantan daripada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, UMNO dan BN negeri akan berusaha lebih keras bagi memastikan hasrat tersebut tercapai.

"Kita tahu di mana kedudukan serta kekuatan BN Kelantan dan yakin mampu merampas semula negeri ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis ramah mesra bersama Persatuan Bola Keranjang Kelantan (KBA) di sini hari ini.

Pada majlis itu, Mohamad Fatmi turut menyampaikan sumbangan cek RM100,000 kepada persatuan tersebut.

Turut hadir, Presiden KBA, Datuk Kho Ah Teck dan timbalannya, Wee Cheong Phar.

Mohamad Fatmi mengulas kenyataan Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang yakin parti itu akan terus kekal memerintah selepas pilihan raya umum akan datang walaupun akan terlepas beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mohamad Fatmi yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri berkata, BN akan menyelesaikan beberapa masalah dihadapi penduduk seperti isu air yang sehingga kini masih gagal ditangani oleh kerajaan Pas negeri.

"Sekiranya dipilih menerajui negeri ini, BN dengan kepakaran yang ada yakin mampu menyelesaikan masalah air sebelum PRU-14," ujarnya.

Mengenai sumbangan kepada KBA, beliau berkata, peruntukan tersebut akan merancakkan perkembangan sukan bola keranjang di Kelantan.

"Sukan merupakan salah satu medium terbaik untuk memupuk semangat kerjasama dan perpaduan antara semua kaum yang ada di negeri ini. Ia juga menunjukkan kerajaan Pusat begitu komited dalam memartabatkan sukan di negeri ini," katanya. - Utusan Malaysia

14 Jun 2012

DIA BETUL SAYA TAKUT - TUN MAHATHIR

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak takut Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa - kecuali beliau akan didakwa atas pertuduhan palsu.

Beliau mengulas kenyataan ketua anggota parlimen DAP Lim Kit Siang bahawa beliau bekerja keras memastikan pembangkang tidak berjaya kerana takut dakwaan salah lalu didedahkan.

"Dia betul. Saya takut," tulis Dr Mahathir dalam blognya.

"Saya takut pada bentuk salah guna kuasa seperti sudah ditunjukkan oleh seorang pemimpin besar Pakatan yang pegawai polis kanan di pihaknya untuk menakutkan Dr Ristina Majid dan Umi Hafilda Ali supaya menarik balik surat Umi kepada saya."

Dr Mahathir Mohamad pada 31 Mei lalu dilaporkan mendakwa, tindakan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pegawai tinggi kerajaan melakukan sesuatu bukanlah perkara yang luar biasa, lapor Utusan Malaysia.

Menurut Dr Mahathir, Anwar ketika didakwa di mahkamah sewaktu menjadi timbalan perdana menteri pada penghujung 1990-an, pernah mengarahkan polis untuk menakutkan beberapa saksi yang terlibat dalam pertuduhan salah guna kuasa dan liwat dihadapinya.

"Selain ini saya tidak takut. Saya selalu berhati-hati untuk tidak menyalahgunakan kuasa yang saya ada sebagai perdana menteri kerana saya berhati-hati untuk meletakkan jawatan dan hilang kuasa pada tahap tertentu.

"Sekiranya saya menyalahgunakan kuasa, pengkritik saya akan sangat teruja dan mendedahkan saya dan memastikan saya disumbat dalam penjara," sambung Dr Mahathir. - Malaysiakini