04 Julai 2011

RENTETAN TITAH TUANKU APA PANDANGAN PROF AZIZ BARI DAN SYED HUSIN ALI



KUALA LUMPUR, 4 Julai — Titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin agar Bersih 2.0 menyelesaikan isu mereka secara perundingan tidak seharusnya dianggap sebagai satu kekalahan kepada gabungan itu yang menuntut pembaharuan sistem pilihan raya adil dan bersih, kata penganalisis politik Prof A. Aziz Bari.

“Berunding tak semestinya kekalahan pada Bersih,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Menurut Aziz, ini kerana Seri Paduka Baginda (gambar) bertitah berunding dan ini boleh memberi makna laksanakan tuntutan supaya pilihan raya yang adil dan bebas diadakan.

“Ringkasnya kedua-dua pihak perlu bersedia berunding dan rujukannya perlu Perlembagaan Persekutuan,” kata pakar perlembagaan ini.

Aziz juga berkata dari segi Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda ada hak dan kuasa untuk bercampur tangan.
Ekoran titah Yang di-Pertuan Agong semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diminta mengadakan dialog dengan BERSIH 2.0.

Senator Dr Syed Husin Ali berkata, titah Yang di-Pertuan Agong semalam boleh ditafsirkan bahawa Seri Paduka berharap terdapat perbincangan antara kedua-dua pihak.

"Saya hendak tengok sama ada PM akan ikut nasihat Agong. SPR (Surujanjaya Pilihan Raya) sudah tutup pintu. Sekarang antara BERSIH dan perdana menteri," katanya.

Bercakap dalam sidang media di lobi Dewan Negara, Syed Husin bagaimanapun tidak dapat menjawab sama ada perhimpunan 9 Julai akan diteruskan atau tidak.

"Setahu saya pada 8 hari bulan, perdana menteri dan isteri ke lapangan terbang. Sama ada perhimpunan 9 Julai diteruskan atau tidak, saya tidak dapat menjawabnya," katanya.

sumber malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan