18 September 2011

DIMANA YB P.MAS ,K.KRAI DAN TUMPAT

Belakang Parang jika di asah lagikan tajam...

7 beranak diami pondok kecil


PASIR MAS – Percaya atau tidak pada zaman moden sekarang ini sebuah keluarga di sini masih tinggal dalam sebuah pondok di mana dinding diperbuat daripada buluh dan lantai pula dari batang pinang.

Tetapi, itulah hakikat yang terpaksa dilalui tujuh beranak yang tinggal di pondok kecil di Kubang Agor, Tok Uban, di sini.

Pondok ini bukan sahaja kecil, malah juga bocor menyebabkan tujuh penghuninya terpaksa mencari tempat berteduh berhampiran rumah setiap kali hujan lebat.

Pasangan Mohd Rosdi Mohamad, 37, dan isteri, Zaharah Ismail, 28, serta lima anak yang masih kecil terpaksa akur dengan cara hidup mereka kerana tidak mampu membina kediaman lebih baik sejak tiga tahun lalu.

Bukan mereka tidak mahu membina rumah lebih besar dan menjanjikan keselesaan buat mereka sekeluarga, tetapi kesempitan hidup menyukarkan mereka berbuat demikian.

Zaharah berkata, pendapatan suaminya sebagai tukang cat dengan pendapatan tidak menentu, mereka tidak mampu menyediakan rumah baru.

Menurutnya, mereka bernasib baik kerana arwah mertuanya mempunyai tanah dan membolehkan mereka anak-beranak membina pondok untuk didiami.

“Pendapatan suami sebanyak RM300 sebulan hanya cukup menampung keperluan harian dan perbelanjaan sekolah anak-anak sahaja.

“Itu pun kalau dikira betul-betul, memang tidak mencukupi untuk membiayai anak masih kecil dan bersekolah, tetapi saya terpaksa berjimat,” katanya yang tidak bekerja kerana perlu menguruskan anak-anak yang masih kecil.

Zaharah berkata, kesempitan hidup memaksa mereka berteduh di pondok kecil yang jarang dihuni masyarakat hari ini.

Menurutnya, walaupun pondok ini terlalu kecil dan daif, mereka tiada pilihan sehingga terpaksa bersesak dengan lima lagi masing-masing berumur 10 hingga dua tahun.

“Bagaimanapun, saya bernasib baik dua daripada tiga anak yang bersekolah, Norzainawati Mohd Rosdi, 10, dan Mohd Khairul Mohd Rosdi, 8, yang belajar di Sekolah Kebangsaan Bukit Jarum, di sini turut menerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) bagi menampung bayaran yuran persekolahan dan pakaian sekolah.

Zaharah berkata, mereka tidak pernah memohon bantuan daripada mana-mana pihak sebelum ini, tetapi ada pihak datang melihat keadaan pondoknya.

Menurutnya, sehingga kini tiada sebarang maklum balas diterima.

“Saya tidak pasti pihak mana yang datang, tapi sudah beberapa kali mereka tampil menanyakan keadaan kediaman kami,” katanya.

Menurutnya, kisah hidup mereka pernah terpampang di dada akhbar, tetapi tidak pasti akhbar mana kerana hanya dimaklumkan jiran-jiran.

Zaharah juga menjelaskan pondok kecil itu tidak mempunyai bekalan elektrik dan bergantung kepada sambungan wayar elektrik yang diambil dari rumah emak saudara kepada suaminya itu.

Dia berharap sekiranya ada pihak bertanggungjawab dapat tampil menghulurkan bantuan bagi membina rumah baru yang menjanjikan lebih keselesaan buat mereka sekeluarga.


Keluarga hidup susah dibantu


KAMPUNG PADANG TEMBESU – Kesusahan keluarga Yusof Adam, 66, yang mendiami rumah usang dengan lantai tercabut serta dindingnya reput mendapat perhatian Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) apabila turun padang melihat rumah keluarga ini.

Pegawai Pemantau KKLW Cawangan Kelantan, Muhammad Hanif Ahmad, berkata, pihaknya akan kemukakan permohonan rumah melalui Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi menggantikan rumahnya itu yang lantainya tercabut, dindingnya reput serta tiada bilik air di dalam rumah.

“Bagaimana pun, ini proses di peringkat kemukakan permohonan, kelulusan itu bergantung pada KKLW pusat nanti,” katanya ketika tinjauan ke rumah keluarga Yusof di sini, kelmarin.

Sementara itu, bagi Yusof, dia begitu berharap akan memiliki rumah yang sempurna kerana rumah yang didiami sejak 15 tahun ini bakal runtuh bila-bila masa.

“Mudah-mudahan permohonan untuk mendapatkan rumah PPRT itu mendapat perhatian dan disegerakan pembinaannya,” katanya.

Menurutnya, tiada apa yang difikirkan selain memiliki rumah yang sempurna untuk ditinggalkan kepada tiga anaknya yang masih bersekolah.

“Apa yang saya risaukan, sekiranya saya meninggal kelak, anak-anak tiada tempat berteduh, untuk saya membaiki rumah ini, saya tidak berkemampuan.

“Saya ada tanah cuma untuk membina rumah itu tidak berkemampuan, rumah yang didiami sekarang ini juga adalah bantuan kerajaan di bawah rumah PPRT tetapi tanahnya di atas tanah saudara,” katanya.

Menurutnya, dengan keadaan kesihatan yang tidak menentu akibat penyakit asma, dia hanya mampu melakukan pekerjaan mengambil upah memetik kelapa dengan bantuan beruk yang dipeliharanya.

Katanya, dia bernasib baik kerana isterinya, Mek Yah Yusof, 49, bekerja mengambil upah mengerjakan sawah padi.

“Sedikit sebanyak pendapatan isteri saya itu dapat menampung perbelanjaan keluarga, ditambah pula bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, dapatlah kami sekeluarga meneruskan hidup” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian pernah menyiarkan kisah keluarga Yusof bersama anak dan isteri hidup daif di rumah usang di lorong berhadapan Masjid Taqwa, di kampung ini.

Derita 3 beranak tunggu bantuan


KUALA KRAI - Ungkapan ‘Rumahku Syurgaku’ tidak pernah wujud dalam kamus hidup seorang ibu tunggal di Kampung Bukit Langsat, dekat sini sejak tinggal di rumah peninggalan ayahnya lebih 10 tahun lalu.

Selain dinding berlubang dan reput dimakan anai-anai, bumbung rumah didiami ibu tunggal terbabit, Rohana Ariffin bersama dua anak berusia lima dan tujuh tahun itu juga banyak yang bocor.

Rohana, 28 berkata, biarpun tidak selesa terutama ketika hujan, dia tidak mempunyai pilihan selain terus mendiami rumah usang itu bersama dua anaknya disebabkan kesempitan hidup.

Katanya, selepas kehilangan suami dua tahun lalu, dia bergantung kepada pendapatan RM18 sehari sebagai pekerja kilang papan untuk sara hidup termasuk belanja sekolah anaknya.

“Kalau hujan waktu malam, saya serta anak-anak tidak ada tempat nak tidur dan terpaksa berjaga kerana bumbung bocor dan seluruh rumah dibasahi air.

“Dengan pendapatan sebanyak itu (RM18 sehari), usahkan nak baiki rumah, nak tampung belanja seharian dan anak sekolah pun tak cukup,” katanya, di sini, semalam.

Rohana berkata, dia pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tahun lalu bagi meringankan bebannya menyara diri dan anak-anak namun ditolak.

“Selama ini saya tidak pernah terima apa-apa bantuan dan bila cuba mohon dengan JKM, mereka kata tak layak sebab saya muda dan masih boleh bekerja.

“Kenapa tak ambil kira saya orang miskin, bahkan rumah ini dulu pun asalnya arwah ayah saya terima bawah bantuan PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin),” katanya.

Rohana bagaimanapun bernasib baik apabila masalah bumbung rumahnya bocor menarik perhatian Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Krai, Mohd Fadhli Yahya yang sudi menghulurkan sumbangan peribadi.

Mohd Fadhli diwakili Setiausaha JKKKP Tanpa Mukim Dun Mengkebang, Zamzuri Ismail berkata, bantuan bagi menukar bumbung rumah itu diharap dapat memberi sedikit keselesaan kepada Rohana sekeluarga.

“Beliau (Mohd Fadhli) juga berharap, keluarga ini dapat diberikan keutamaan jika ada bantuan disalurkan mana-mana agensi kerajaan di kawasan ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan